Kaedah Iqra’ merupakan satu kaedah yang disusun sebagai satu usaha mengadaptasi atau mengubah suai kaedah lama (al-Baghdadi) agar dapat mencapai matlamat belajar al-Quran dalam waktu yang singkat dan cepat. Kaedah Iqra’ atau cara cepat belajar al-Quran Rasm Uthmani ini berasal dari Indonesia dan mula diperkenalkan pada tahun 1984 di sebuah taman kanak-kanak al-Quran di kota Gedo, Jogjakarta. Pengasas kaedah ini ialah al-Marhum Ustaz Haji As’ad Humam yang mempunyai pengalaman mengajar al-Quran sejak tahun 1950 dan mengasaskan kaedah ini melalui percubaan dan penyelidikan yang mendalam.
Menurut Mohd Alwi et.al (2003), setelah lama menggunakan kaedah al-Baghdadi, Ustaz Hj As’ad kemudiannya beralih pula kepada kaedah Qira’ati selama tiga tahun, namun beliau dapati ianya masih belum dapat memenuhi kepentingan pelajarnya dalam pengajian al-Quran. Selain itu, beliau juga mendapati pihak penyusun Qira’ati itu sendiri kurang memberi sambutan dan tidak berpegang kuat dengan kaedah yang telah mereka susun, lalu beliau mengambil inisiatif menyusun sendiri gagasan yang beliau rangka dengan lebih baik dan sempurna lagi iaitu kaedah Iqra’. Kaedah ini mula diperkenalkan di Indonesia pada tahun 1988.
Pada mulanya kaedah Iqra’ ini digunakan dalam Majlis Tadarrus Remaja di Wilayah Yogjakarta dan sekitarnya iaitu pelaksanaan di masjid-masjid dan surau seminggu sekali. Lebih 600 Majlis Tadarrus Remaja berjaya ditubuhkan yang kemudiannya dikembangkan oleh aktivis Tadarrus Remaja melalui usaha membimbing anak-anak pengajian di kelompok masing-masing. Hasilnya, terbukti ramai kanak-kanak yang berusia 6 tahun yang diajar melalui kaedah Iqra’ ini dapat membaca al-Quran.
Jadi, menurut Mohd Alwi et.al (2003), apabila usaha rintis ini telah berjaya membuahkan hasil maka, kaedah Iqra’ ini akhirnya disebar luaskan penggunaannya ke seluruh Indonesia dan berbagai badan dakwah serta badan-badan organisasi Islam yang terdapat di sana telah berjaya mengendalikan kursus kaedah Iqra’ ini. Kejayaan tersebut telah dapat menarik minat negara-negara jiran yang lain seperti Malaysia, Singapura, dan Brunei untuk mengambil manfaat dengan kaedah ini. Bahkan di Malaysia kaedah Iqra’ dijadikan kaedah pengajaran di sekolah-sekolah rendah di seluruh negara. Begitu juga di Singapura apabila Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut menggunakan kaedah ini di beberapa madrasah dalam pendidikan agama di sana. Begitulah juga keadaannya di Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu, Filipina dan Thailand yang telah turut mengadakan rintis penggunaan kaedah Iqra’ ini di negara masing-masing.
Seterusnya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menguatkuasakan pengajaran Tilawah al-Quran di sekolah-sekolah rendah supaya menggunakan kaedah Iqra’ bermula pada sesi persekolahan 1995 yang lalu. Murid-murid tahun satu dikehendaki mengikuti kelas kemahiran al-Quran selama enam bulan pertama penggal persekolahan yang pertama. Selain itu, Unit Pendidikan Islam dan Moral Jabatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Persekutuan (MAKDIS) pula telah berusaha menerbitkan modul pengajaran Iqra’ untuk dijadikan panduan guru-guru bagi menjalankan kaedah ini di sekolah masing-masing.
Buku-buku Iqra’ disusun untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran al-Quran dari peringkat pengenalan huruf hijaiyyah hinggalah menguasai tilawah al-Quran dengan baik dan mengikut hukum tajwid. Ianya telah disusun dengan mengambil kira keupayaan dan kemampuan murid menguasai asas kemahiran seperti mengenal, menyebut, mengeja, membaca dan menulis serta diselitkan juga pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat murid sepanjang enam bulan pertama persekolahan mereka.
Kaedah ini mengutamakan bimbingan dan latih tubi. Oleh kerana itulah setiap orang guru hanya akan membimbing 5 atau 6 orang murid sahaja bagi setiap satu sesi pengajaran yang mengambil masa selama 60 minit. Pendekatan ini begitu sesuai dijalankan kerana menurut Abdul Halim El-Muhammady (1990), sekiranya jumlah murid dalam suatu kelas terlalu ramai akan menyebabkan guru tidak dapat memberi bimbingan berkesan ke atas setiap murid dalam suatu sesi pengajaran. Kaedah Iqra’ ini dikenal pasti juga sebagai kaedah yang dapat membantu mempercepatkan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca al-Quran dengan baik melalui 3 peringkat iaitu 1) Peringkat mengenal huruf, 2) Peringkat mengenal baris dan, 3) Peringkat membunyikan baris (Mohd Alwi 2003).