AL-QURAN

Sunday, April 10, 2011

KAEDAH AL-BAGHDADI

Kaedah ini merupakan kaedah yang paling lama dan meluas digunakan di seluruh dunia. Pengasas kaedah al-Baghdadiah ialah Abu Mansor Hafzul Fikri Al-Baghdadi pada tahun 376 Hijrah. Beliau dipercayai berasal daripada Baghdad, ibu kota Iraq dan diperkenalkan di Malaysia seiring dengan kedatangan Islam ke tanah Melayu sejak berabad yang lalu. Kaedah Baghdadiah menggunakan sebuah buku yang dinamakan “Muqaddam” yang menjadi bahan utama pengajaran asas tilawah al-Quran. Kaedah ini menekankan kepada pengenalan huruf hijaiyyah, baris dan ejaan.

Ciri-ciri Kaedah al-Baghdadiah :

  1. Mengenalkan huruf-huruf Hijaiyah dari ا hingga ي secara latih tubi sehingga murid hafaz.
  2. Mengeja huruf tunggal berbaris di atas dan membunyikannya.
  3. Mengeja huruf tunggal yang bercampur baris iaitu baris satu di atas, di bawah dan di depan serta membunyikannya.
  4. Mengeja huruf bertashdid yang bersambung dengan ا dan ي serta membunyikannya.
  5. Mengeja huruf ا ، و dan ي bertanda mati dan bersambung dengan satu huruf serta membunyikannya.
  6. Mengeja kalimah-kalimah yang ada huruf ا ، و dan ي bertanda mati dan bersambung dengan كم serta membunyikannya.
  7. Mengeja kalimah-kalimah yang terdapat huruf nun bertashdid dan membunyikannya.
  8. Mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan yang terdiri daripada dua suku kata, tiga suku kata atau empat suku kata atau lebih. Ada bacaan panjang, ada bacaan pendek dan ada bacaan dengung dan tidak dengung.
  9. Membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi.
  10. Setelah pelajar menguasai bacaan petikan-petikan ayat, maka mereka bolehlah membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dari surah al-Fatihah, an-Nas hingga an-Naba’ mengikut turutan dalam Muqaddam.

Selain itu, kebanyakan guru-guru al-Quran yang menggunakan kaedah al-Baghdadi akan menyuruh murid-murid menghafaz surah-surah lazim walaupun mereka belum mengenali huruf hijaiyyah dan belum boleh membaca kalimah-kalimah pendek. Susunan surah-surah dalam kaedah ini disusun secara menyongsang atau terbalik, sedangkan dari segi adabnya membaca Al-Quran hendaklah mengikut surah. Walaupun demikian, sumbangan kaedah ini terhadap perkembangan pendidikan Al-Quran di negara ini sangat banyak dan tidak boleh dinafikan.

Secara umumnya, kaedah al-Baghdadi ini disusun dengan berlatar belakangkan kehidupan pada zaman silam yang tidak menitik beratkan tempoh pembelajaran yang agak lama perlu diambil oleh seseorang itu untuk menguasai bacaan al-Quran. Namun pun begitu, apa yang jelas, tidak dapat dinafikan kaedah terunggul ini telah melahirkan ramai generasi yang celik al-Quran sejak berkurun lamanya. Kini, sejajar dengan ledakan zaman teknologi moden, muncul kaedah pengajaran al-Quran yang lebih cepat dan singkat pembelajarannya. Ia telah diperkenalkan sebagai salah satu usaha ke arah pembelajaran yang lebih efektif iaitu kaedah Iqra’.