Menurut Khadijah et.al (2003) pendidikan al-Quran bermula sejak wahyu pertama diturunkan selama dua puluh tiga tahun yang berlangsung di Mekah dan Madinah iaitu rentetan daripada peristiwa di Gua Hira’ apabila malaikat Jibril sebagai pendidik mengajar Nabi Muhammad s.a.w membaca. Pendidikan ini berterusan pada zaman sahabat, tabi’in, sehinggalah kini dan hari kiamat kelak.
Wahyu Allah s.w.t yang diturunkan dalam bahasa Arab ini merupakan satu mukjizat yang teragung dan abadi. Ia bukan sahaja sesuai untuk mengatur semua hal-hal kehidupan manusia sepanjang zaman, bahkan mempunyai keajaiban serta kehalusan bahasanya yang tidak akan luput serta tidak akan jemu dihayati walaupun dibaca berulang kali (Zulkifli et.al 2008; Khadijah et.al 2003).
Menurut Azhar (2005), walaupun bahasa Arab dikenali sebagai bahasa yang terunggul sebelum kedatangan Islam lagi, namun penurunan al-Quran sebenarnya telah memberikan nafas baru dan sumbangan yang besar terhadap perkembangannya. Al-Quran telah dapat memanjangkan lagi hayat bahasa ini, menyatukan kepelbagaian dialeknya dan menjadikannya sebagai bahasa intelektual dan ketamadunan. Apa yang lebih penting, al-Quran sebagai wahyu juga telah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa yang kaya dengan kosa kata, bahasa yang utuh dengan tata bahasa dan gaya bahasanya hingga dapat mengatasi bahasa-bahasa lain.
Wahyu mempunyai pengertian yang banyak seperti al-isyarat, al-kitabah [tulisan], al-risalah [perutusan], al-ilham, al-kalamal-khafiyy [percakapan atau bisikan tersembunyi], perintah atau suruhan [al-amr] dan setiap yang anda ‘campakkan’ kepada selain anda (Ramli Awang 2003). Keunggulan kitab yang tiada tolok bandingnya dan tidak boleh ditandingi oleh sesiapa pun sama ada dari kalangan jin atau pun manusia ini, jelas dilihat dalam firman Allah melalui surah al-Isra’ ayat 17:88 yang bermaksud ”....sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa dengan al-Quran, nescaya mereka tidak akan mampu membuat yang serupa dengannya meskipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain...”