AL-QURAN

Sunday, April 10, 2011

CIRI-CIRI KAEDAH IQRA'

Mohd Alwi et.al (2003) telah menggariskan beberapa ciri kaedah Iqra’ iaitu;

  1. Bacaan terus (tanpa eja) : Murid tidak diperkenalkan nama huruf dan tanda bacaan sebaliknya terus dipekenalkan bunyi setiap huruf.
  2. Penggunaan teks tertentu : P&P menggunakan satu set buku sebanyak 6 naskhah mengikut tahap masing-masing.
  3. Teknik Pengajaran Cara Belajar Murid Aktif (CBMA) : Guru menerangkan asas utama pengajaran secara berulang kali atau Talaqqi Musyafahah, kemudian murid yang sudah memahami akan mengulanginya dengan membaca sendiri bahan berikutnya.
  4. Talaqqi Musyafahah : Mempelajari Al-Quran secara berhadapan secara langsung dengan guru.
  5. Tahap Berasaskan Pencapaian Individu : Tahap pencapaian dan kelajuan murid dalam mengikuti bahan pengajarannya adalah bergantung kepada individu murid dan peranan gurunya. Untuk tujuan penilaian, rekod pretasi perlu disediakan.
  6. Tenaga pembimbing : Guru boleh membimbing 5 atau 6 orang dalam satu masa. Jika keadaan memerlukan guru boleh mengambil murid tertentu untuk menjadi pembantu dan penyemak bagi murid lain di peringkat bawah.
  7. Praktis : Tujuan kaedah dibentuk adalah supaya murid dengan cepat dan mudah dapat membaca Al-Quran.Tiada pengajaran tentang ilmu tajwid, tetapi sebutan yang dikeluarkan mengandungi hukum tajwid.
  8. Sistematik : Disusun secara lengkap, sempurna dan terancang dengan bentuk huruf dan reka letak seimbang. Bermula dengan mengenalkan huruf-huruf pelbagai baris peringkat demi peringkat sehingga ke peringkat yang bermakna.
  9. Komunikatif: Lingkaran petunjuk dan pengenalan adalah akrab dengan pembaca sehingga dapat menarik minat dan menyeronokkan contohnya, diperkenalkan pelajaran secara berirama apabila bacaan yang ada hukum mad dibaca dengan panjang dan tanpa mad pula dibaca pendek.
  10. Kelenturan Dan Mudah: Ia boleh dipelajari oleh sesiapa bermula daripada kalangan kanak-kanak pra sekolah sehingga orang dewasa juga.Ibu bapa yang kurang mahir membaca Al-Quran juga boleh menjadi tenaga pengajar.Murid yang baru sahaja tamat jilid 2 atau 3 boleh mengajar murid yang masih diperingkat jilid 1.

Kaedah ini mempunyai kelebihan tersendiri iaitu ianya membolehkan murid menguasai bacaan al-Quran dengan cepat. Berdasarkan hasil kajian lapangan yang di jalankan di 27 buah sekolah di beberapa buah negeri di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 6 buah sekolah agama swasta mendapati kaedah ini memberi kesan yang baik terhadap pencapaian pengajaran al-Quran di sekolah rendah kebangsaan, cuma terdapat beberapa perkara yang mana sekiranya dapat diatasi, nescaya akan dapat meningkatkan lagi tahap kejayaannya daripada 85% ke 95% seperti masalah bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam satu kelas. Ini kerana, kaedah ini menjadi kurang berkesan sekiranya jumlah murid dalam sesuatu kelas itu terlalu ramai dan tidak seimbang kerana ianya akan menyebabkan guru tidak sempat memberi bimbingan berkesan ke atas setiap murid dalam sesuatu sesi pengajaran.

Namun, kekurangan latihan tambahan dan sokongan melalui kaedah ini akan turut memberi kesan terhadap kecekapan dan keberkesanan kaedah ini. Seterusnya, kaedah ini juga tidak menyatakan objektif dan tujuan yang disasarkan secara jelas kepada murid dan juga guru. Jadi, keadaan ini memungkinkan akan memberi kesan juga terhadap pelaksanaannya. Antara kelemahan lain yang terdapat dalam kaedah ini juga ialah terdapat segelintir murid tidak dapat mengenal huruf dengan baik kerana hanya didedahkan dengan sebutan terlebih dahulu dan kurang menekankan sebutan huruf.