Kemahiran membaca al-Quran itu terdiri daripada beberapa peringkat, akan tetapi menurut pemeringkatan yang umum dan termasyhur, kemahiran bacaan al-Quran tersebut dibahagikan kepada empat peringkat atau tingkatan sahaja. Sejajar dengan pendapat yang masyhur di atas, Muhammad al-Sadiq Qamtahawy (1978) menyebut bahawa peringkat kemahiran membaca al-Quran tersebut terdiri daripada beberapa peringkat.
Peringkat kemahiran membaca al-Quran yang pertama ialah al-tartil. Bentuk ini merupakan bacaan al-Quran dilaksanakan dengan sempurna dan perlahan-lahan disertai dengan sebutan setiap makhraj dengan tepat sesuai dengan hukum dan sifatnya, juga disertai penghayatan terhadap makna ayat-ayat yang dibaca dan ianya merupakan bentuk bacaan yang paling afdhal.
Peringkat kemahiran membaca al-Quran yang kedua ialah al-tahqiq. Bentuk bacaan ini hampir sama dengan peringkat al-tartil tetapi bentuk bacaan dilaksanakan dengan lebih tenang dan perlahan-perlahan. Ianya untuk membetulkan bacaan makhraj huruf, menetapkan kadar bacaan mad dan dengung. Bentuk ini bersesuaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) al-Quran khususnya individu yang baru mempelajari al-Quran supaya dapat melatih lidah menyebut huruf dan sifat huruf dengan tepat dan betul.
Peringkat kemahiran membaca al-Quran yang ketiga ialah al-hadr. Bentuk bacaan al-Quran ini dilaksanakan dengan cepat akan tetapi masih tetap memerhati dan memelihara hukum-hukum tajwid bacaan al-Quran. Bentuk bacaan ini biasanya dilakukan oleh individu yang telah menghafal al-Quran supaya dapat mengulangi bacaannya dalam masa yang singkat. Peringkat kemahiran membaca al-Quran yang terakhir ialah al-tadwir. Bentuk bacaan al-Quran yang pertengahan atau sederhana ini, dilaksanakan dengan sifat pertengahan antara bentuk al-tartil dengan al-hadr serta tetap memelihara hukum-hukum tajwidnya.